Pembangunan Industri Kreatif dan Budaya Negara 

Sejarah dunia memperlihatkan tamadun yang bergerak maju semuanya mempunyai sejarah yang hebat berkaitan perkembangan budaya kreatif. Malaysia yang kaya dari sudut seni dan budaya kerana kepelbagaian kaum dan adat adalah Malaysia yang berbudaya dengan warga kreatif dan seniman yang hidup dalam kesatuan.

Untuk memelihara industri kreatif dan tradisi kesenian yang pelbagai ini semua kanak-kanak harus mempunyai peluang untuk mempelajari instrumen, melibatkan diri dengan seni dan mengembangkan kreativiti mereka. Manakala penggiat seni dan industri kreatif perlu mendapat sokongan sepenuhnya untuk meneruskan agenda seni dan kreatif negara.

Dasar Industri Kreatif Negara

Korea Selatan adalah antara contoh terbaik yang memanfaatkan seni dan budaya untuk  memperkenalkan  negara  dan  produk mereka sehingga menyumbang kepada pembangunan ekonomi keseluruhannya.

Sebagai negara yang rencam dengan budaya pelbagai etnik, Malaysia berpotensi menawarkan karya seni dengan daya tarikan yang unik. Untuk itu satu Pasukan Petugas Khas bakal ditubuhkan untuk membuat kajian menyeluruh tentang hala tuju industri kreatif negara sebagai pemangkin pembangunan negara yang melibatkan FINAS, ASWARA, SENIMAN dan pemegang taruh yang lain. Dasar industri Kreatif Negara ini akan dirangka secara menyeluruh bagi memperkasa seni muzik, filem dan seni kreatif lain dengan mencerminkan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat kita termasuk etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Hub Penggambaran Filem

Menjadikan Malaysia sebagai hub penggambaran filem yang memberi impak positif kepada industri perkhidmatan dan ekonomi penduduk setempat.

Kesejahteraan Penggiat Seni

Untuk memastikan kebajikan penggiat dan pemain industri kreatif dalam jangka masa panjang, sistem jaringan keselamatan sosial untuk golongan ini akan diperkukuh.

Penubuhan Badan Bebas Filem

Menubuhkan badan  bebas,  profesional,  telus  dan  bertanggungjawab bagi  ahli  industri,  artis  dan  masyarakat  sivil  yang  berkelayakan  untuk mengawal selia filem dan menambahbaik struktur sedia ada.

Mempermudah Sistem Pelesenan

Meminda sistem pelesenan  dan rangka kerja undang-undang untuk mengurangkan beban yang tidak sepatutnya ke atas penggiat seni tempatan. Ini termasuk sekatan ke  atas kapasiti  kreatif  sehingga menyebabkan ruang kerja seni dan budaya itu produk yang tidak bebas lagi.

Dana Budaya Kreatif Untuk Sekolah

Untuk menggalakkan murid-murid di sekolah mempunyai peluang terlibat dengan proses seni dan kreatif sejak di bangku sekolah dan mempromosikan seni dan budaya sebagai alat pendidikan, sejumlah dana akan diperuntukkan sebagai dana latihan budaya.

Kongsi Artikel Ini: