Menjamin Kesejahteraan dan Daya Saing Rakyat Malaysia

Faktor-faktor geografi, kelas sosioekonomi, latar belakang, dan etnik serba-serbi membentuk perkembangan sesebuah komuniti dan individu. Kesenjangan sistem sedia ada mengehadkan akses sebahagian komuniti ini khususnya masyarakat India, Orang Asli dan Orang Asal kepada kemudahan asas, pendidikan berkualiti, peluang kerjaya dan kediaman selesa yang menjadi elemen penting bagi meningkatkan mobiliti sosial dan taraf hidup mereka.

Intervensi strategik perlu dilaksanakan di setiap tahap perkembangan. HARAPAN yakin kita boleh meneruskan usaha proaktif untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara komuniti-komuniti dengan meningkatkan daya saing supaya tiada siapa yang tercicir dalam menikmati kemakmuran negara.

Masalah Tiada Kewarganegaraan

Menyelesaikan masalah tiada kewarganegaraan masyarakat India (stateless Indians) dan masyarakat lain, yang akan diselaraskan melalui satu jawatankuasa khas di bawah JPM dan laporannya dibentangkan di Parlimen dan disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen. Jawatankuasa Khas ini juga akan menyelaraskan bantuan-bantuan segera mengikut keperluan kepada golongan ini sehingga proses kewarganegaraan diselesaikan.

Sokongan Keluarga

Bantuan tunai kanak-kanak setiap bulan dari lahir hingga umur 6 tahun untuk mengatasi isu kekurangan nutrisi dalam fasa penting perkembangan bagi mengelakkan gejala bantut

Hapuskan Diskriminasi

Menangani segala bentuk halangan diskriminasi terutamanya dalam sektor pendidikan, di tempat kerja dan dalam hal penyewaan kediaman.

Akses Pendidikan dan Latihan

Meningkatkan akses kepada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan penempatan untuk latihan berasaskan kemahiran (TVET) untuk belia daripada komuniti-komuniti ini.

Pembangunan Sosioekonomi

Menyemak semula unit pembangunan sosioekonomi seperti MITRA dan memperkenal Dana khas “Makkal Malarchi” untuk pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Memperkasa program-program sokongan dengan kuota minimum 40% untuk wanita dan OKU bagi tujuan latihan kemahiran, geran untuk perniagaan kecil dan industri di rumah.

Pemilikan Rumah Sendiri

Menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi komuniti ini khususnya pekerja ladang dan bekas pekerja ladang dan perkampungan Orang Asli yang kehilangan tempat tinggal.  PBT dan kerajaan negeri akan mewajibkan pemaju perumahan untuk membina rumah bagi mereka berdasarkan konsep rumah ganti rumah.

Peluang Ekonomi dan Perniagaan

Bantuan bagi meningkatkan penyertaan dalam perniagaan, pertanian  dan penternakan. Inisiatif termasuk penyediaan skim kredit mikro dan skim sokongan pendanaan, latihan, sokongan konsultasi pentadbiran dan kawal selia dengan kuota minimum 40% untuk golongan wanita dan OKU.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)

Mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry-RCI) untuk menyiasat salah guna kuasa dan rasuah bagi dana-dana yang dikhaskan untuk pembangunan sosio-ekonomi seperti Maika Holdings, MIED, SEED, SEDIC, NAAM, Penjana Kerja dan MITRA, dan seterusnya akan memastikan semua pesalah laku dibawa ke muka pengadilan.

Kongsi Artikel Ini: