Menjamin Kesejahteraan Kanak-Kanak 

Berdasarkan statistik penduduk pada 2021, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan berjumlah 9.13 juta iaitu 28% daripada keseluruhan populasi di Malaysia. Menghampiri satu pertiga daripada jumlah keseluruhan rakyat, mereka berhak memiliki permulaan terbaik, mereka berhak gembira, mereka berhak bahagia dan mereka berhak sihat sesuai dengan usia mereka.

Memastikan perkembangan kanak-kanak dan remaja terjamin akan memberi kesan positif yang berpanjangan untuk kehidupan masa depan mereka sebagai orang dewasa nanti. Komitmen sebenar terhadap kebajikan kanak-kanak hari ini adalah pelaburan untuk masa depan negara.

Manfaat Kanak-kanak Sejagat

Isu kanak-kanak bantut di negara ini sangat kritikal sehingga ianya dilaporkan lebih teruk daripada kadar kanak-kanak bantut di Gaza dan Iraq pada hari ini. Harga susu yang sangat mahal telah menyebabkan ramai ibu bapa tidak mampu memberikan susu dan makanan berkhasiat untuk 1,000 hari pertama setelah bayi mereka lahir. Untuk mengatasi masalah ini, setiap bayi yang baru lahir akan diberikan manfaat tunai yang akan didepositkan secara bulanan ke dalam akaun ibu bapa sehingga mereka berumur 6 tahun.

Jaminan Kerakyatan

Membuat pindaan terhadap Perkara 15(2) bagi menjamin kerakyatan bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia kepada salah seorang ibu atau bapa warga Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Perkara 14(1)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan juga akan dilaksanakan pindaan agar ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa dan memberi manfaat berpanjangan kepada anak tersebut. Dalam masa yang sama pindaan juga akan dilakukan terhadap undang-undang untuk membolehkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada anak angkat.

Jabatan Kanak-kanak

Kesejahteraan kanak-kanak yang semakin terancam akibat pelbagai ancaman seperti penderaan, gangguan seksual dan juga pengabaian memerlukan sebuah penyelesaian konkrit. Dalam masa yang sama peredaran semasa seperti perkembangan media sosial semuanya memberi kesan terhadap pertumbuhan kanak-kanak. Penubuhan Jabatan atau Agensi Kanak-kanak akan mengawalselia ancaman yang wujud dan memastikan kesejahteraan kanak-kanak dipelihara.

1,500 Pelindung Kanak-kanak

Mempercepat penambahan 1,500 pelindung kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memastikan nisbah ideal seorang pegawai untuk 30 kanak-kanak dapat direalisasikan segera. Keperluan mendesak ini wujud kerana situasi semasa pada hari ini menyaksikan seorang pegawai mempunyai sehingga 100 kes membabitkan kanak-kanak.

Penstrukturan Semula Pendidikan Awal Kanak-kanak

Sebelum pandemik bermula, peratusan enrolmen untuk kanak-kanak berusia 4 dan 5 tahun masih rendah di tahap 83.5% sahaja. Ketika pandemik melanda, sebanyak 1,394 buah tadika terpaksa ditutup mengakibatkan bilangan kelas untuk prasekolah semakin mengecil. Keadaan ini bertambah meruncing selepas pandemik kerana lebih ramai keluarga yang tidak mampu membayar yuran yang dikenakan. Untuk mengatasi masalah ini dan membina lebih banyak kelas prasekolah, sistem pendidikan awal kanak-kanak perlu distruktur semula untuk mengambilkira semua faktor seperti tahap sosio-ekonomi keluarga serta bantuan-bantuan yang perlu disalurkan untuk memastikan mereka kembali ke dalam kelas dan mula belajar semula.

Penubuhan Jawatankuasa Hak Kanak-kanak di Peringkat Mahkamah Sivil dan Syariah

Penubuhan Jawatankuasa Kanak-kanak di Peringkat Mahkamah Sivil dan Syariah untuk membantu kanak-kanak menyelesaikan pelbagai isu di mahkamah melibatkan mahkamah seperti perkahwinan bawah umur, hak penjagaan anak serta hak lawatan. Dalam konteks semasa, kanak-kanak pada hari ini tidak mempunyai representasi peguam di mahkamah dan berpotensi menyebabkan hak-hak mereka diabaikan. Jawatankuasa Hak Kanak-kanak ini akan memastikan kepentingan kanak-kanak sentiasa dipenuhi ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025

Umum mengetahui wujudnya perkahwinan bawah umur ini, namun tidak ramai menyedari kesan negatif perkahwinan bawah umur terhadap kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak perempuan. Oleh yang demikian, usaha dalam Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025 seperti yang telah dilaksanakan pada Januari 2020 akan diteruskan.

Kongsi Artikel Ini: