Memantapkan Pembangunan Wanita dan Institusi Keluarga 

Pasca pandemik, wanita bekerja dan berkorban lebih hebat untuk diri dan keluarga. Walaubagaimana pun hari ini wanita masih berdepan dengan isu ketaksamaan gender dan pencabulan hak yang berterusan.

Untuk menangani realiti ini, polisi berasaskan keperluan harus segera digerakkan untuk membela kehidupan bermaruah dan memperjuang kesejahteraan pembangunan kehidupan wanita. Dalam konteks pembinaan negara bangsa, kesejahteraan wanita membawa kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Keterangkuman Gender

Untuk mengatasi amalan ketaksamaan gender yang membawa masalah kepada wanita pada hari ini, setiap Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Parlimen akan dipastikan memiliki aspek keterangkuman gender yang lebih membina.

Sistem Pengumpulan Data

Mewujudkan sistem pengumpulan data merentas Kementerian dan Agensi untuk memastikan integrasi data berlaku melibatkan maklumat mengenai wanita dan kanak-kanak.

Subsidi Penjagaan Kanak-kanak

Dalam masa-masa sukar seperti hari ini, ramai wanita berkorban dengan bekerja untuk menyara keluarga tetapi dalam masa yang sama terbeban dengan isu penjagaan anak kecil. Untuk itu, subsidi penjagaan kanak-kanak akan diberikan kepada wanita bekerja dari golongan B40 dan juga M40.

Jaminan Kerakyatan

Meminda Perkara 14(1)(b) dalam Perlembagaan Persekutuan agar ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan Malaysia kepada anak mereka seperti kaum bapa. Ini akan memberi kemudahan kepada kaum wanita untuk menguruskan diri dan keluarga menurut keperluan di masa depan.

Mengatasi Kemiskinan Haid

Pemberian tuala wanita dan tampon secara percuma di sekolah rendah dan menengah di semua sekolah di Malaysia dan tuala wanita dan tampon percuma kepada wanita B40 di lokasi-lokasi strategik.

Memperkasa Institusi Kehakiman Syariah

Untuk memastikan hak wanita dan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan, Institusi Kehakiman Syariah akan diperkasa segi kesarjanaan dan pengurusan pentadbiran yang lebih efisien.

Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025

Meneruskan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Kanak-kanak 2025 seperti yang telah dilaksanakan pada Januari 2020 untuk memastikan hak wanita dan kanak-kanak sentiasa terbela.

Kongsi Artikel Ini: