Hari ini sambungan internet jalur lebar ultra pantas menjadi asas kritikal ekonomi digital dan perkhidmatan sosioekonomi. Sambungan berkelajuan tinggi membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam e-dagang, menstrim video bagi proses pembelajaran dan melaksanakan pelbagai urusan harian yang lain.
Tanpa jalur lebar, inovasi seperti kecerdasan buatan, Internet-of-Things dan Industri 4.0 tidak akan dapat dilaksanakan. Tanpa akses yang mampu milik dan perkhidmatan internet berkualiti tinggi, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan usahawan berbakat Malaysia yang bercita-cita tinggi akan menjadi kurang upaya dalam memasarkan produk mereka untuk bersaing dengan seluruh dunia.
Hapuskan Kemiskinan Internet
Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah terpaksa bermalam di atas pokok untuk mendapatkan akses internet yang lebih baik untuk peperiksaan sekolahnya. Marina Jita, ibu Orang Asli dari Bekok, Johor membawa anak-anaknya menaiki motosikal sejauh 15km melalui hutan ke tempat perlindungan sementara di tengah-tengah ladang kelapa sawit untuk mengakses internet untuk pembelajaran dalam talian semasa pandemik Covid-19.
Jurang digital bandar luar bandar adalah nyata. Malah, akses kepada perkhidmatan internet berkualiti di kebanyakan komuniti di bandar-bandar Malaysia masih kekal tidak sekata. Komitmen utama kini adalah untuk membawa capaian internet pantas ke seluruh Malaysia bagi menamatkan kemiskinan internet. Liputan sejagat dan kualiti perkhidmatan mesti diutamakan berbanding faktor lain.
Pertumbuhan Industri Pusat Data
Pusat data sudah pun menjadi industri bernilai AS$100 bilion di seluruh dunia. Lokasi Malaysia yang strategik di antara timur dan barat menjadikan Malaysia destinasi menarik bagi pelabur antarabangsa yang ingin membangunkan pusat data. Selain daripada mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan Malaysia untuk menjadi hab serantau pusat data akan memulakan infrastruktur digital yang lebih baik yang membawa kepada perkhidmatan internet berkualiti tinggi kepada semua rakyat Malaysia.