Reformasi Kesihatan

Kesihatan awam berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat. Malaysia diperakui sebagai salah sebuah negara dengan penjagaan kesihatan awam yang baik dan mampu diakses oleh semua. Namun selaras dengan pembangunan semasa dan pertambahan populasi, sudah muncul bibit-bibit penjagaan kesihatan awam dilihat semakin meregang (overstretched).

Pandemik COVID-19 telah menguji daya tahan dan mendedahkan kepincangan sektor penjagaan kesihatan awam. Akses kepada klinik dan hospital semakin terhad, dengan kadar hunian katil di wad yang melebihi kapasiti. Insiden kebakaran atau kerosakan fasiliti di hospital juga mendedahkan betapa usangnya infrastruktur kesihatan awam yang ada. Hartal Doktor Kontrak yang berlaku mendedahkan lagi kerosakan sistemik kesihatan awam.

HARAPAN percaya reformasi kesihatan perlu dilakukan segera sebelum nasi menjadi bubur. Kesejahteraan rakyat berkait rapat dengan kesihatan sejagat.

Kesihatan Dan Kesejahteraan

Beralih daripada penjagaan pesakit atau “sick care” kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan (healthcare & wellness) termasuk menangani penentu sosial untuk kesihatan, seperti kemiskinan dan menyediakan pendidikan kesihatan  dan akses kesihatan yang saksama kepada semua.

5% Dalam Masa 5 Tahun

Meningkatkan Belanjawan Kesihatan Awam kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) dalam masa 5 tahun agar ianya selaras dengan perkembangan populasi negara, pertambahan jangka hayat rakyat dan keperluan semasa.

Mengekang Peningkatan NCD

Memberi tumpuan khusus untuk menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Diseases) dengan memberikan tumpuan kepada penjagaan primer, saringan kesihatan, pendidikan, kesejahteraan, kesihatan awam dan pengurangan tabiat yang membahayakan kesihatan termasuk merokok.

Suruhanjaya Kesihatan

Menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan yang akan merangka dan memantau pelaksanaan “Pelan Reformasi Kesihatan Negara” bersama Unit Perancangan Ekonomi (EPU), MOF, Kementerian Kesihatan Malaysia dan MOE untuk menangani isu-isu sistemik termasuk pembiayaan penjagaan kesihatan (healthcare financing), desentralisasi kuasa, kerjasama awam dan swasta (PPP) dan lain-lain.

Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara

Bagi menangani isu pekerja kontrak kesihatan, HARAPAN akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk mengukuhkan pengurusan sumber manusia, perjawatan, latihan dan perkembangan kerjaya para petugas kesihatan.

Reformasi Penyampaian Perkhidmatan

Reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan negara meliputi pengurangan tempoh menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pemodenan fasiliti kesihatan dan mewujudkan waktu operasi yang fleksibel di klinik kesihatan berpopulasi tinggi.

Menjamin Kebajikan Doktor Dan Petugas Kesihatan

Hospital kerajaan beroperasi mengikut syif berbanding mengikut waktu kerja biasa sepertimana amalan di beberapa negara untuk membolehkan perkhidmatan kepakaran  diberikan  kepada setiap lapisan masyarakat serta dapat mengoptimakan penggunaan fasiliti kesihatan dan perubatan kerajaan.

Meluaskan mySalam

Meluaskan program perlindungan mySalam kepada golongan M40. Program merangkumi penyakit kritikal dan kemasukan ke hospital untuk turut merangkumi penilaian dan penjagaan kesihatan mental termasuk kaunseling.

Mengembangkan Program PeKaB40 Kepada M40

Memperkukuh penjagaan primer dan pencegahan melalui sistem berasaskan kapitasi Pengamal Am (General Practitioner) di mana keluarga dilindungi oleh sistem doktor keluarga yang menyediakan pemeriksaan kesihatan berkala, perundingan kesihatan dan promosi kesihatan.

Agenda Negara Menua

Memberi tumpuan khusus kepada agenda negara menua (ageing nation) sebagai kesiapsiagaan menjelang 2030 di mana lebih 15% dari populasi negara akan berusia 60 tahun dan ke atas. Pelaksanaan agenda ini akan bergerak selari dengan dasar Ekonomi Manusiawi dan Pelan SiagaJaga.

Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri

Menyegerakan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai satu perbuatan jenayah. Mereka yang berdepan dengan gangguan emosi dan mental memerlukan sokongan masyarakat, bukannya hukuman.

Perlindungan Kesihatan Mental

Memberikan lebih perhatian untuk meningkatkan penjagaan kesihatan mental secara holistik termasuk meluaskan liputan skim insurans kepada merangkumi perlindungan dalam isu kesihatan mental.

Kongsi Artikel Ini: