Meningkatkan Liputan Pengangkutan Awam

Pengangkutan awam yang cekap, mudah diakses kepada setiap lapisan masyarakat dan mampu milik serta mudah diselenggara adalah impian rakyat di mana-mana negara. Tetapi di Malaysia pembangunan infrastruktur pengangkutan yang memberikan keutamaan kepada pemilikan kenderaan persendirian telah mengakibatkan pengangkutan awam dianak tirikan. Natijahnya rakyat Malaysia khususnya yang tinggal di Lembah Klang dan bandar lain terpaksa bergantung kepada kenderaan persendirian kerana kerajaan gagal menyediakan pilihan pengangkutan awam yang berdaya maju untuk rakyat.

HARAPAN berazam untuk meningkatkan liputan pengangkutan awam bagi menjamin kesejahteraan rakyat selain mengurangkan kebergantungan bahan api dan pencemaran alam sekitar. Tiada bandar maju yang boleh wujud tanpa rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam yang kukuh.

Akses Mudah, Pergerakan Mudah

Kita perlu memastikan pengangkutan awam bukan sahaja mudah diakses, tetapi juga lengkap dan berdaya maju di mana pengguna dapat bergerak mudah ke destinasi yang dituju. Ini termasuk memastikan 80% dari kawasan bandar berada di dalam lingkungan 10 minit berjalan kaki dari hentian bas atau kereta api. Tempoh masa menunggu juga tidak seharusnya melebihi tempoh 10 minit untuk mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas. Untuk tujuan tersebut kita memerlukan 10,000 buah bas bagi seluruh kawasan bandar di Malaysia dengan 7,000 darinya beroperasi di Lembah Klang.

Had Tambang

Selain dari pas bulanan RM50, kita boleh memperkenalkan had tambang sehingga RM5 sehari bagi menggalakkan lebih ramai pengguna pengangkutan awam, khususnya mereka bukan merupakan pengguna tetap harian.

Regulasi Dan Legalisasi Mobiliti Mikro

HARAPAN akan membantu dalam regularisasi dan legalisasi mobiliti mikro seperti e-scooter  dan e-bicycle bagi memastikan tersedianya first and last mile connection yang tidak diliputi oleh mana-mana mod pengangkutan awam.

Baucer Pengangkutan

Kerajaan boleh bekerjasama dengan penyedia perkongsian perjalanan seperti Grab, untuk menawarkan baucer pengangkutan ke stesen transit. Baucar ini boleh ditawarkan pada harga RM5 setiap baucar dan sehingga 10 baucar setiap orang melalui e-dompet yang boleh digunakan untuk sebarang perjalanan bermula atau berakhir dari stesen LRT, MRT, monorel dan KTM, serta stesen bas utama di seluruh negara.

Meluaskan Mod Pembayaran

Meluaskan mod pembayaran kepada kad debit dan e-dompet dari mod sedia ada iaitu Touch N Go.

Kongsi Artikel Ini: