Mengukuhkan Integriti Institusi

Tanpa proses semak imbang yang menyeluruh, pentadbiran negara akan terdedah kepada salah guna kuasa dan penyelewengan. Hal ini membuka ruang kepada kleptokrat dan ahli-ahli politik yang mementingkan diri membolot jawatan, memusatkan kuasa, dan mengumpul kekayaan melampau lantas merugikan rakyat.

HARAPAN akan terus mempertahankan integriti sistem pentadbiran Malaysia dengan mengehadkan kuasa badan eksekutif, menjamin kebebasan institusi perundangan, dan menyusun semula aturan politik negara.

Had Perkhidmatan 10 tahun

Kami akan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar, dan Ketua Menteri kepada maksimum 10 tahun untuk mengelakkan pemusatan kuasa berlebihan kepada jawatan-jawatan ini dan menjamin ketelusan pentadbiran negara.

Pemisahan Kuasa Pendakwa Raya – Peguam Negara

Memisahkan jawatan dan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara untuk mengukuhkan kebebasan Pendakwa Raya. Peguam Negara hanya bertindak sebagai penasihat undang-undang kerajaan, manakala Pendakwa Raya yang berasingan membuat keputusan mengenai perkara-perkara berkaitan pendakwaan.

Semakan Pencalonan Lantikan

Pencalonan bagi lantikan Pendakwa Raya, jawatan-jawatan utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Ketua Polis Negara perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terdiri daripada ahli pelbagai parti. Jaminan jawatan akan diberikan kepada individu-individu yang dilantik supaya tempoh perkhidmatan mereka tidak ditamat secara sewenang-wenangnya oleh Perdana Menteri.

Akta Penggal Tetap Parlimen

Ketidaktentuan yang timbul akibat spekulasi berpanjangan berkaitan pembubaran mengejut Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum tamat penggal lima tahunnya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi. HARAPAN bakal mewujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi memastikan pembubaran Parlimen dan DUN hanya dilakukan apabila penggalnya tamat bagi mengurangkan ketidaktentuan politik ini.

Kongsi Artikel Ini: