Memerangi Rasuah

Kita pernah melalui episod hitam rasuah yang menjejaskan demokrasi, kedaulatan undang-undang dan pembangunan ekonomi negara ini. Kejayaan rakyat menumbangkan rejim yang bergelumang dengan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) merupakan langkah pertama ke arah membebaskan Malaysia dari belenggu rasuah.

Namun kemelut politik yang berlaku selepas itu dan pertukaran kerajaan yang bersilih ganti menunjukkan unsur-unsur rasuah masih bermaharajalela. Justeru usaha berterusan masih perlu kita laksanakan bagi memerangi rasuah hingga ke akar umbi. Kita boleh membebaskan negara ini dari belenggu rasuah dan HARAPAN komited dalam mendukung aspirasi rakyat yang mahukan negara bersih, jujur dan amanah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM

Pencalonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan. Langkah ini bagi menjamin pelantikan calon yang neutral tanpa tujuan melindungi kepentingan pihak tertentu.

Pengisytiharan Aset

Pengisytiharan aset telah pun menjadi satu amalan pasca PRU14. HARAPAN berhasrat meneruskan amalan ini bagi semua menteri, Ahli Parlimen, Penjawat Awam Kanan, Pengerusi GLC serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat yang berumur 18 tahun ke atas.

Akta Kebebasan Maklumat

HARAPAN akan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang berpotensi menggugat keselamatan negara. Klasifikasi hendaklah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Parlimen dan bukannya budi bicara menteri.

Perolehan Awam

Untuk permintaan sebutharga untuk bekalan; Kementerian Kewangan harus mempunyai senarai harga bekalan yang dikemas kini setiap 6 bulan. Bagi projek-projek, sistem RFP dan tender terbuka akan dilaksanakan. Rundingan langsung hanya dibenarkan untuk hal keselamatan negara tetapi tertakluk kepada Jawatan Pilihan Khas yang diketuai anggota blok pembangkang.

Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus ke media. Pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan Negara boleh disekat di peringkat awal lagi.

Jaminan Kebebasan Media

Menghidupkan semula usaha untuk menubuhkan Majlis Media dan meminda Akta Mesin Cetak. Majlis Media Malaysia berperanan sebagai hala tuju utama untuk mengawal selia industri media yang pantas berubah — terutamanya untuk menyelaraskan peraturan yang mencakupi media cetak, media penyiaran dan media dalam talian — dan pada masa yang sama turut menjamin kebebasan media seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Sistem ‘Ombudsman’

Mewujudkan sistem ‘ombudsman’ bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam termasuk pihak berkuasa.

Kongsi Artikel Ini: