Memperkasa Sistem Demokrasi dan Kuasa Rakyat

Perebutan kuasa yang bersilih ganti ketika pentadbiran Barisan-Perikatan Nasional terutamanya ketika pandemik masih lagi mengganas telah mengakibatkan kelesuan politik dalam kalangan orang awam. Namun, keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi dapat dipulihkan dengan melaksanakan penambahbaikan yang dapat menyempurnakan hasrat mereka.

HARAPAN akan meneruskan usaha memperkasa kuasa rakyat dengan memastikan kebebasan Parlimen, mengawalselia pendanaan parti politik dan menjamin pilihan raya dilaksanakan secara adil dan saksama.

Tingkatkan Wibawa Parlimen

Mengembalikan kebebasan Parlimen Malaysia dengan mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan menambahbaik sistem Jawatankuasa Parlimen bagi memantapkan proses penggubalan dasar dan undang-undang.

Tambah Baik Kualiti Perdebatan Ahli Parlimen

Menubuhkan Pejabat Belanjawan Parlimen (PBO) yang menyediakan khidmat bebas secara objektif kepada semua ahli parlimen merentasi parti berkenaan anggaran implikasi kewangan, atau kos, dasar dan cadangan dasar mereka. Pembaharuan ini akan menambahbaik proses penggubalan dasar dan “menyeragamkan persaingan” dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan anggaran kos dan analitikal lain yang biasanya hanya tersedia secara eksklusif kepada kerajaan jika tiada PBO.

Akta Pendanaan Politik

Memperkenalkan Akta Pendanaan Politik bagi membendung gejala politik wang dan penyelewengan dana seperti 1MDB dan skandal SRC.

Peruntukan Kawasan Sama-rata

HARAPAN bakal menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat parlimen tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu. Peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Atasi Ketidakseimbangan Saiz Pengundian
(Malapportionment)

Menyelesaikan ketidakseimbangan saiz pengundian yang melampau dengan melaksanakan had sisihan sebanyak 30% daripada purata saiz populasi mengundi kawasan pilihan raya.

Undi Tidak Hadir

Memperluas hak mengundi kepada pengundi luar kawasan terutama diaspora Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung Malaysia serta mereka yang bekerja atau belajar di wilayah Sabah dan Sarawak, dan sebaliknya.

Kongsi Artikel Ini: