Merancakkan Perindustrian

Malaysia adalah destinasi pelaburan utama dalam sektor perindustrian di rantau ASEAN. Disokong oleh ekosistem ekonomi yang pelbagai serta menyeluruh, tenaga kerja berpendidikan dan sektor kewangan yang kukuh, negara kita mempunyai keupayaan menarik pelaburan dan industri yang menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama mereka.

Namun, perkembangan ekonomi serantau menyaksikan kemunculan jiran serantau yang kini berpotensi menarik pelaburan dan industri sekaligus menjadi pesaing Malaysia. Lantaran itu kita perlu bersedia untuk memupuk ekonomi masa hadapan yang akan menggunakan teknologi moden, automasi, IR4.0, pendigitalan dan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Malaysia juga perlu lebih cekap dalam memudahkan proses memulakan perniagaan baik untuk pelabur luar atau pun dalam negara.

HARAPAN komited dalam memastikan kebolehan daya saing Malaysia dalam sektor industri kekal berada dalam tahap terbaik. Kita boleh mengekalkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang paling maju dari segi teknologi perindustrian di rantau ASEAN.

Fasilitasi Industri

Mempermudah proses perniagaan dan perdagangan dengan mengurangkan kerenah birokrasi melalui fasilitasi berterusan oleh agensi-agensi kerajaan seperti MIDA, MATRADE, SME Corp, MPC, MIDF dan sebagainya.

Dana Strategik

Memperkenalkan lebih banyak dana strategik yang mengukuhkan kapasiti syarikat milik Malaysia untuk melibatkan diri dalam pelaburan langsung domestik. Dalam semangat yang sama seperti Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF), dana tersebut harus membenarkan syarikat domestik menaik taraf peralatan jentera (automasi), meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui inisiatif latihan dan mencapai pensijilan antarabangsa bagi produk mereka.

Insentif Eksport

Menyediakan lebih banyak insentif eksport untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa, seperti insentif cukai untuk potongan tiga kali ganda ke atas perbelanjaan yang berkaitan dengan perjalanan perniagaan untuk menggalakkan eksport; menyediakan geran dan insentif untuk pengiklanan dalam talian atau kempen pemasaran syarikat tempatan untuk meningkatkan jualan mereka di luar negara.

Zon Perdagangan Bebas

Mewarta Zon Perdagangan Bebas di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan Sandakan serta Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP) bagi menarik pelaburan di wilayah Sabah.

Naik Taraf Infrastruktur

Menaik taraf infrastruktur asas di semua taman perindustrian termasuk air, elektrik, sistem pembentungan dan jalan perhubungan bagi memastikan taman perindustrian kekal kompetitif bagi menarik pelaburan dan industri.

Kongsi Artikel Ini: