Salah satu petunjuk penting demokrasi adalah keupayaan media untuk melaporkan secara bebas mengenai isu semasa yang bersifat kepentingan awam. Fungsi penting demokrasi ini akan rosak apabila kebebasan media dihadkan dan kesan buruknya akan menyebabkan pemimpin dan rakyat tidak lagi mempunyai akses kepada maklumat yang benar. HARAPAN komited untuk memastikan salah satu benteng utama demokrasi seperti kebebasan media dan hak bersuara dipelihara sesuai dengan prinsip keadilan yang dijulang bersama.
Memansuhkan Akta Zalim
Menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 , Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Majlis Media
Menghidupkan semula usaha untuk menubuhkan sebuah Majlis Media (Media Council), yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media sendiri, bagi melindungi kebebasan media dan kebajikan pengamal media.
Melindungi Pemberi Maklumat
Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus ke media. Pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan negara boleh disekat di peringkat awal lagi.
Akta Kebebasan Maklumat
Memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang boleh menggugat keselamatan negara. Klasifikasi hendaklah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Parlimen dan bukannya budi bicara menteri.