Menangani Isu Kos Sara Hidup

Pasca pandemik COVID-19, rakyat kini berdepan dengan isu kos sara hidup yang membebankan. Tahun 2021 mencatatkan kadar inflasi sebanyak 2.1% dan ia meningkat kepada 4.7% untuk tempoh Januari hingga Ogos 2022. Kenaikan kadar inflasi berpunca dari permintaan yang tinggi, kenaikan harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan.

Kita boleh menangani isu kos sara hidup dengan mengambil pendekatan yang mendahulukan kepentingan rakyat. Biarpun inflasi bergantung kepada keadaan pasaran, kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat boleh melaksanakan dasar yang menurunkan kadar inflasi atau meringankan beban rakyat. HARAPAN juga bertekad untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu kos sara hidup dan bukannya solusi jangka pendek.

Hapuskan Kartel

Kita boleh menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi menggalakkan persaingan dan membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau (profiteering). Tanpa kartel, peluang juga dapat diwujudkan untuk usahawan baharu menceburkan diri dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas.

Bekalan Cukup

Mewujudkan kerjasama dengan pihak pembekal supaya bekalan barangan makanan sentiasa mencukupi. Usaha ini perlu terutama sekali ketika musim perayaan di mana isu kehabisan bekalan sentiasa menjadi punca kepada kenaikan harga barangan.

Insentif Tingkat Pengeluaran

Memberikan insentif yang secukupnya untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dan keperluan asas supaya tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam jangka masa panjang. Lebih pengeluaran bermakna harga dapat dikurangkan.

Mengkaji Semula Konsesi Lebuhraya

Kerajaan HARAPAN telah menunjukkan komitmen dengan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik, dengan pencapaian pengurangan 18% kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).

HARAPAN bertekad untuk meneruskan pengurangan tol PLUS secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan tol dan pengembalian lebuhraya PLUS kepada milik awam.

Kongsi Artikel Ini: