Dalam mendepani cabaran geopolitik masa kini, keselamatan negara telah menjadi satu isu kompleks yang perlu ditangani secara dwipartisan dan cekap dengan menutup ruang kepada salah guna kuasa atau ketirisan. Beberapa insiden yang berlaku berkaitan keselamatan negara kebelakangan ini sepatutnya menjadi iktibar untuk kita menggunakan pendekatan baharu.
HARAPAN komited kepada reformasi dalam isu keselamatan negara yang membawa kepada keterlibatan semua dan keterbukaan tanpa menjejaskan tahap keselamatan dan integriti nasional. Keselamatan negara tidak sepatutnya kabur dalam kerahsiaan tetapi perlu lebih terbuka kerana ia melibatkan kepentingan setiap lapisan rakyat.
Agensi Tunggal Sempadan
Penubuhan Agensi Tunggal dan Penggunaan Data Raya (Big Data) dan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) dalam isu kawal selia sempadan. Amalan ini telah dilaksanakan di banyak negara lain dan merupakan kunci kepada pengurusan sempadan yang berkesan.
Kertas Putih Pertahanan
Program pemodenan pertahanan mengikut keperluan Angkatan Tentera dengan berpandukan Kertas Putih Pertahanan yang diluluskan di Parlimen semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2019.
Pelan Keupayaan Bersama
Untuk membangunkan pelan keupayaan bersama (tri-service) yang disahkan oleh kerajaan dengan pelan pembiayaan jangka panjang bersesuaian bagi memastikan wujudnya kesinambungan antara tentera darat, laut dan udara dalam berhadapan dengan ancaman pihak luar serta dimensi peperangan yang berbeza dari ancaman pengganas dan komunis sebelum ini.
Perolehan Kerajaan Dan Pertahanan
Menggubal Akta Perolehan Kerajaan dan merombak Proses Perolehan Pertahanan untuk melindungi daripada ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa yang kerap berlaku dalam perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan.
Menjamin Kebajikan Anggota
Membentuk Jawatankuasa Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji isu kebajikan anggota keselamatan, dan peluang pekerjaan pasca perkhidmatan bagi melindungi kebajikan anggota veteran.
Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP)
Untuk menyemak dasar sedia ada berhubung dengan sumber manusia dan mewujudkan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) bagi memastikan jumlah anggota pertahanan sentiasa mencukupi bagi melindungi kedaulatan negara.
Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP)
Menggubal Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) yang akan menjadi garis panduan untuk membangunkan sains, teknologi dan industri pertahanan negara bagi mengurangkan kebergantungan pada pihak luar dan pada masa mewujudkan ekosistem pertahanan menyeluruh negara.
Eastern Sabah Security Command (ESSCOM)
Memperkukuh peranan dan mempertingkat keupayaan aset agensi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi keselamatan perairan Timur Sabah.
Keselamatan Data Peribadi
Menjamin keselamatan data peribadi rakyat dari ketirisan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan memperkemas sistem penguatkuasaan bagi membendung aktiviti jenayah seperti aktiviti penipuan (scam).
Pertahanan Sempadan
Meningkatkan pertahanan sempadan negara daripada pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia dengan menilai keperluan aset dan menambah keanggotaan unit keselamatan.
Pemerkasaan IPCC
Memperkasa IPCC selaras dengan saranan Laporan Dzaiddin yang merangkumi aspek pembangunan sumber manusia dalam badan kepolisan, struktur organisasi dan saranan penambahbaikan dan modernisasi PDRM.