Malaysia adalah sebuah negara yang aktif di persada dunia dengan keanggotaan di dalam organisasi antarabangsa seperti PBB, Komanwel, OIC dan NAM. Walaupun sebuah negara kecil, Malaysia berjiwa besar dalam memperjuangkan isu-isu antarabangsa dan pandangan Malaysia dihormati oleh negara lain.
Walaupun begitu, kegemilangan negara telah terjejas berikutan beberapa skandal berprofil tinggi antaranya skandal 1MDB yang mendapat liputan meluas media antarabangsa. Masanya sudah tiba untuk kita membersihkan nama negara dan kembali meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang perlu diteladani.
HARAPAN bertekad untuk mengembalikan kegemilangan Malaysia di persada dunia dan menimbulkan kembali rasa gah di kalangan rakyat pelbagai lapisan agar kita kembali berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan komuniti antarabangsa
Komitmen Pada Perubahan
HARAPAN akan meneruskan komitmen untuk membina Malaysia baharu yang lebih baik. Ini termasuklah memupuk kembali semangat asal Persekutuan Malaysia dalam membina masyarakat majmuk yang liberal dan progresif, meneruskan reformasi institusi, mengangkat martabat integriti dan menghormati kebebasan badan-badan kehakiman dan legislatif.
Kuasa Pertengahan (Middle Power) yang Berpengaruh
Memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang dapat memainkan peranan lebih besar dalam mencorak landskap geopolitik serantau dan global. Dengan terus berpegang teguh kepada Dasar Berkecuali, kami akan memberikan penekanan kepada hubungan dua hala yang dapat menggalakkan pembangunan dan memantapkan kemajuan ekonomi negara. HARAPAN juga komited menghalang penglibatan kuasa luar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara serta mengelakkan Malaysia daripada terjebak dalam konflik kuasa- kuasa besar dunia.
Bersama ASEAN
HARAPAN akan terus mempromosikan ASEAN sebagai blok perdagangan utama dunia dan kerjasama serantau serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara anggota ASEAN yang penting dan komited dalam memperjuangkan kepentingan serantau.