Negara telah beberapa kali berdepan dengan krisis makanan serius berpunca dari pengeluaran yang terhad atau kesan bencana alam seperti banjir. Ketiadaan bekalan makanan bukan sahaja menyebabkan kenaikan harga tetapi juga menjerumus kepada masalah nutrisi.
Menjamin keselamatan makanan tidak terhad sekadar memastikan pengeluaran makanan yang cukup. Ia perlu merangkumi aspek kebajikan pemain individu seperti petani, nelayan dan penternak. HARAPAN menawarkan dasar yang memberi fokus pada dua aspek ini sebagai tawaran untuk rakyat Malaysia.
SEKURITI MAKANAN
Reformasi Tanah Pertanian – Kita boleh melaksanakan reformasi tanah pertanian melalui Majlis Tanah Negara dengan kerjasama kerajaan negeri untuk memudahkan petani dan penternak memohon atau memajak tanah untuk tujuan pertanian atau penternakan.
Pertanian Moden Dan Pintar – Meningkatkan dan menggalakkan penggunaan teknologi dalam bidang pertanian menerusi geran atau pinjaman mudah. Memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian dan agro-makanan serta meningkatkan pengkomersialan hasil-hasil penyelidikan.
Malaysia Sebagai Negara Eksport Pertanian – Mengenal pasti beberapa produk pertanian yang berpotensi untuk dimajukan untuk pasaran eksport demi meningkatkan pendapatan para petani. Kita akan berusaha memperluaskan pasaran global untuk produk pertanian Malaysia.
Menarik Pelaburan Dan Agropreneur Muda – Memudahcara pelepasan cukai untuk pelaburan dalam sektor pertanian sama ada syarikat atau petani kecil. Memperkasa Program Agropreneur Muda dan program padanan bakat antara industri dan anak muda yang berminat berkecimpung dalam sektor pertanian moden.
KEBAJIKAN KAUM PETANI, NELAYAN DAN PENTERNAK
Kita boleh memperluas jaringan keselamatan sosial semua petani, nelayan dan penternak secara berperingkat dalam lima tahun.
Mengalihkan subsidi “input” ke subsidi “output” secara berperingkat demi menggalakkan peningkatan pengeluaran. HARAPAN akan meningkatkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan.
Kad Subsidi atau e-wallet akan diperkenalkan untuk memberi kebebasan petani membeli input pertanian.