Belanjawan tahunan bandar raya di Malaysia mencecah berbilion ringgit setiap tahun. Belanjawan untuk Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sahaja mencecah RM3 bilion setahun, melebihi belanjawan negeri-negeri seperti Selangor (RM2.34 bilion), Johor (RM1.95 bilion) dan Perlis (RM306.83 juta).
Walaupun dengan perbelanjaan yang besar ini, rakyat di bandar-bandar besar masih tidak memiliki hak untuk memilih kerajaan tempatan, termasuklah di Kuala Lumpur. Hal ini merupakan salah satu isu terbesar negara, menyebabkan rakyat terdedah dengan manipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjarah dan mencuri sumber atau wang daripada belanjawan yang besar.
Kita dapat melihat bagaimana DBKL mengejar keuntungan ibarat ia diuruskan seperti syarikat swasta. Keuntungan yang ditawarkan oleh para pemaju lebih diutamakan berbanding keperluan rakyat. Justeru kita perlukan pendemokrasian yang lebih berkesan untuk melindungi kepentingan rakyat. Rakyat Malaysia berhak untuk terlibat dalam proses demokrasi di peringkat kerajaan tempatan bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.
Meningkatkan Keterlibatan Awam
HARAPAN bertekad untuk memberikan rakyat platform untuk menggalakkan keterlibatan orang awam di semua peringkat melalui platform yang konsisten dan terbuka. Terutamanya jika melibatkan kepentingan rakyat yang boleh memberi impak kepada hidup rakyat – seperti projek pembangunan setempat dan dasar-dasar tempatan.
Berusaha Ke Arah Demokrasi Berperwakilan di DBKL
Kerajaan HARAPAN akan bekerja keras untuk memperkasakan demokrasi dan ketelusan di DBKL melalui kaedah yang sistematik. Usaha ini akan memastikan semua rakyat Malaysia memiliki perwakilan yang boleh dipercayai, inklusif serta mewakili kepentingan rakyat, bukannya pihak pemaju.