Golongan belia merupakan asas kepada masa hadapan negara. Memperkasakan golongan belia boleh dilakukan antaranya dengan membuka peluang keterlibatan ekonomi untuk belia. Penyertaan belia di dalam ekonomi akan memberikan kesan limpah berlipat ganda yang menjana pertumbuhan.
HARAPAN berazam untuk memudahkan akses golongan belia menjadi sebahagian dari kegiatan ekonomi negara. Antaranya dengan menyediakan bantuan atau insentif merangkumi bidang-bidang ekonomi bukan tradisional seperti ekonomi gig, pertanian, industri hijau dan sektor penjagaan.
Biasiswa B40
HARAPAN akan memperkenalkan Biasiswa B40 bagi mengurangkan kebergantungan golongan kurang berkemampuan kepada kemudahan pinjaman seperti PTPTN.
Biasiswa Perintis
HARAPAN juga akan memperkenalkan Biasiswa Perintis dan peluang ‘upskilling’ bagi golongan belia yang berminat menceburi bidang ekonomi baharu seperti industri penjagaan -“caretaker, caregiver bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU”, sektor pertanian moden dan sektor hijau.
Sistem Perkembangan Kerjaya
Untuk pekerja buruh kasar dan ekonomi gig, sistem perkembangan kerjaya akan diperkenalkan. Syarikat penyedia ekonomi gig diberikan insentif khas sekiranya membangunkan kemahiran dan kerjaya pekerja ekonomi gig manakala lepasan SPM dan ke bawah diberi galakan untuk menceburi pengajian dalam bidang TVET.
Pertumbuhan Keusahawanan
Kita boleh menggalakkan pertumbuhan sektor keusahawanan di kalangan golongan belia dengan menyediakan dana khusus, skim latihan dan langkah pemudah cara bagi belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan.