Reformasi Pendidikan

Pandemik COVID     -19 yang lalu telah mendedahkan kelemahan sistem pendidikan nasional. Paling ketara, jurang antara kelas telah menyebabkan peluang pendidikan tidak setara ketika sekolah ditutup akibat PKP.

Pasca Pandemik, fokus reformasi pendidikan adalah untuk merapatkan jurang, meningkatkan kualiti, memastikan kebajikan guru menjadi teras utama serta menjadikan Pendidikan Tinggi sebagai kesinambungan kepada peluang masa depan yang lebih cerah untuk anak Malaysia.

PENDIDIKAN RENDAH

Sarapan Percuma – UNICEF      menganggarkan      masalah nutrisi dalam kalangan kanak-kanak dijangka meningkat dua kali ganda ketika pandemik Covid-19. HARAPAN akan      menambah peruntukan program sarapan percuma sedia ada bagi golongan yang memerlukan. Ini amat penting bagi lebih 500,000 penerima supaya mereka dibekalkan dengan nutrisi yang mereka perlukan ketika memulakan sesi persekolahan setiap hari, sepanjang tahun.

Pasca-Pandemik, Menurunkan Kadar ‘Lost Generation’ – Untuk memulihkan jurang pembelajaran kerana penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19, belanjawan khas akan diperuntukkan untuk menilai tahap kemampuan 3M (Membaca, Menulis, Mengira) di seluruh negara. Dalam masa yang sama untuk memastikan golongan yang tertinggal terutama mereka dari latar belakang miskin dan pedalaman (lost generation) tidak terus tercicir, elaun khas akan diperuntukkan sebagai sokongan tambahan kepada para guru untuk menjalankan pelan pemulihan yang sesuai dan efektif agar kadar keciciran dapat diturunkan.

Kurangkan Sekolah Daif – Jurang infrastruktur di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak bermakna jurang pendidikan tidak pernah menjadi keutamaan walau Malaysia merdeka lebih dari 60 tahun yang lalu. Untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua anak Malaysia termasuk anak-anak di Sabah & Sarawak, pembaikan sekolah daif akan menjadi teras Reformasi Pendidikan termasuk meningkatkan perbelanjaan pembinaan bangunan baharu melalui pembinaan modular dan IBS serta penyelenggaraan bangunan sekolah yang lebih efisien dalam kadar segera.

Ringankan Beban Guru – Untuk memastikan kualiti pendidikan dapat disampaikan di dalam kelas dengan cemerlang, keutamaan harus dimulakan dengan membina persekitaran yang menyokong para guru. Guru tidak boleh lagi dibebani dengan birokrasi yang melampau untuk memastikan mereka kembali fokus kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Untuk jangka masa pendek, pertindihan prosedur dan laporan sedia ada akan diperkemas. Bagi jangka masa panjang pula, peruntukan yang mencukupi akan dipertimbangkan untuk melantik pembantu pengajar yang sesuai untuk membantu para guru melaksanakan tugas pentadbiran mereka.

Program Silang Budaya – Sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan budaya yang menjadi contoh kepada dunia luar, Malaysia perlu terus mengekalkan identiti dan kelebihan ini untuk terus diwariskan kepada anak bangsa. Untuk memupuk perpaduan lebih awal di kalangan generasi muda, program silang budaya akan dilaksanakan bagi pelajar sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan sekolah agama.

Peruntukan Adil – Untuk membantu setiap golongan yang mempunyai keperluan yang berbeza, peruntukan yang adil akan disalurkan kepada semua sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh, Sekolah Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat & Sekolah Agama Persendirian, Sekolah Pondok yang berdaftar, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Bahasa Etnik – Keupayaan mengajar bahasa etnik di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan diperluas untuk memelihara warisan dan memastikan lebih ramai guru dilatih dan diberi pendedahan sebagai usaha berterusan membina generasi yang lebih berbudaya.

Pengiktirafan Sijil UEC – Meneruskan usaha untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.

PENDIDIKAN TINGGI

Mansuhkan AUKU – Untuk menyelia Reformasi Pendidikan yang berterusan, autonomi kepada pentadbiran Universiti & Institut Pengajian Tinggi harus menjadi keutamaan. Untuk itu AUKU akan dimansuhkan dan pemegang taruh dalam hal tadbir urus akan dikembalikan semula kepada pelajar, pensyarah dan alumni.

Pengampunan Hutang PTPTN Bersasar – Untuk mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah di kalangan siswa termasuk keberhutangan PTPTN pula, Program Pengampunan      Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan diperkenalkan. Jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksana berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.

Biasiswa B40 – Dalam masa yang sama, lebih banyak biasiswa akan diperkenalkan mencakupi golongan B40 untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman PTPTN.Menambah Peluang – Memastikan semua pelajar SPM & STPM yang cemerlang berpeluang ke IPTA untuk memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak yang benar-benar layak mengikut pencapaian.

Kongsi Artikel Ini: