Alam sekitar merupakan khazanah yang dikurniakan sebagai amanah untuk dipelihara. Krisis iklim, jika tidak diurus dengan tuntas, bakal menjejaskan kesejahteraan masa depan anak bangsa.
HARAPAN menggariskan beberapa isu penting melibatkan kecemasan iklim, mencari formula terbaik sebagai rencana untuk daya tahan iklim dan tebatan banjir, menggerakkan negara ke arah pelepasan bersih sifar karbon (net-zero emissions) sambil menekankan aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Akta Perubahan Iklim
Menggubal Akta Perubahan Iklim yang menetapkan sasaran pelepasan karbon dan liputan hutan menjelang 2040. Usaha dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan tetapi tergendala setelah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
Pemindahan Fiskal Ekologi
Memanfaatkan mekanisme Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) dengan menambahkan peruntukan dana pembiayaan hutan sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada kerajaan negeri sebagai insentif untuk tidak menyahwarta hutan simpan.
Kawasan Perlindungan Marin
Meningkatkan peratusan Kawasan Perlindungan Marin kepada 30 peratus menjelang 2030 untuk melindungi kawasan berharga ini secara sah daripada dieksploitasi.
Akta Jerebu Rentas Sempadan
Menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan dan memperkasa kerangka kerjasama antara negara jiran serantau bagi penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencegahan pencemaran.