Pandemik COVID-19 menyaksikan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menjadi antara sektor yang paling terjejas teruk. Walaupun pandemik telah berakhir, sektor PMKS masih belum mampu bangkit sepenuhnya.
Kita boleh memulihkan sektor PMKS melalui dasar-dasar yang menyokong pertumbuhan kembali sektor ini. Pemulihan dan pertumbuhan PMKS perlu mengambil kira daya tahan bagi memastikan PMKS bersedia menghadapi sebarang kejutan dan dapat terus menyumbang kepada sektor ekonomi.
Sumber Tenaga Kerja
Menangani kekurangan buruh dengan memperkemas proses pengambilan pekerja asing bagi memastikan operasi PMKS berterusan tanpa sebarang gangguan.
Pusat Pendigitalan Sehenti
Menubuhkan Pusat Pendigitalan Sehenti untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana memohon insentif pendigitalan bagi memastikan transformasi digital berjalan lancar di kalangan PMKS.
Peningkatan Produktiviti
Menyediakan insentif atau geran untuk penyelesaian produktiviti khusus untuk PMKS untuk meningkatkan produktiviti buruh dan kecekapan penggunaan modal. Perbelanjaan yang layak termasuk pembelian peralatan teknologi, alat/penyelesaian pemasaran digital, perundingan dan perkhidmatan teknikal.
Pembiayaan Modal Teroka
Meningkatkan peruntukan untuk pembiayaan modal teroka (VC) secara berkala bagi menggalakkan usahawan dalam bidang teknologi tinggi memulakan operasi PMKS mereka.