Golongan OKU merangkumi 15% daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Oleh itu mereka tidak sewajarnya dipinggirkan dalam usaha pembangunan negara. Walaupun berdepan halangan fizikal dan mental, golongan OKU berhak memainkan peranan dalam bidang sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
HARAPAN menyedari bahawa penyediaan dasar dan persekitaran yang kondusif kepada golongan OKU adalah perlu agar peranan mereka tidak tersisih. Justeru usaha membela nasib OKU perlu dilipat gandakan bagi memastikan golongan OKU tidak terpinggir dari arus pembangunan dan pembinaan negara Malaysia.
Penubuhan Jabatan/Agensi OKU
Untuk memastikan kehidupan berkualiti dinikmati warga OKU di masa hadapan, permasalahan OKU pada ketika ini seperti isu infrastruktur dan kelemahan sistem pendidikan perlu diselesaikan segera. HARAPAN akan menubuhkan sebuah agensi khas untuk menyelaras bantuan dan peruntukan dari pelbagai kementerian. Agensi ini juga boleh berperanan sebagai pemudahcara untuk memastikan hal ehwal kebajikan, keperluan serta permasalahan seperti potensi masa depan dan kualiti kehidupan warga ini diangkat menjadi keutamaan.
Lantikan Pesuruhjaya OKU Dalam SUHAKAM
Bagi menghormati hak asasi manusia melibatkan golongan OKU, adalah wajar pelantikan pesuruhjaya OKU di dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) direalisasikan. Pelantikan ini dapat membantu dalam melindungi hak-hak OKU dan mencegah segala bentuk diskriminasi terhadap golongan ini.
Akses OKU
Meningkatkan penyediaan kemudahan dan pengangkutan awam yang mesra OKU dan memastikan projek pembangunan menepati rekabentuk sejagat (Universal Design). Masanya sudah tiba untuk memperakui keperluan OKU terhadap kemudahan dan pengangkutan awam tidak boleh diabaikan sewenangnya.
Peruntukan Khas Pendidikan OKU
Untuk memastikan agenda pendidikan OKU menjadi teras keutamaan dan memulihkan ekosistem kecekapan penyampaian sistem pendidikan OKU seperti latihan guru, pembinaan infrastruktur untuk kelengkapan kelas dan menambah bilangan kelas, sebuah Peruntukan Khas Pendidikan OKU akan diperuntukkan.