Membasmi Kemiskinan 

Pandemik COVID-19 telah meningkatkan kadar kemiskinan mutlak di Malaysia dari 5.6% pada tahun 2019 ke 8.4% (2020). Sejumlah 12.5% dari isi rumah dilaporkan memperoleh pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan. Pandemik juga mengubah komposisi kumpulan pendapatan apabila 20% isi rumah M40 tergelincir ke kategori B40.

MEMBASMI KEMISKINAN DI SETIAP PERINGKAT

HARAPAN berazam untuk membasmi kemiskinan agar setiap lapisan masyarakat dapat hidup dengan bermaruah dan pada masa yang sama menyumbang kembali kepada komuniti. Kita boleh membasmi kemiskinan dengan membendungnya  di setiap peringkat di samping memberi tumpuan khusus pada isu kemiskinan bandar.

Pembiayaan Mikro-kredit – Kita boleh membendung kemiskinan di setiap peringkat. Pendekatan mikro-kredit melalui penambahan dana untuk Amanah Ikhtiar Malaysia dan Yayasan Usaha Maju bagi membuka peluang golongan rentan menceburi bidang keusahawanan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Bantuan Sara Hidup (BSH) Dan Sarapan Percuma – Meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk membantu mengatasi kos sara hidup. Sarapan percuma untuk semua pelajar di sekolah juga akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah keciciran di sekolah melibatkan pelajar miskin.

Membina Keluarga Bahagia – 1 daripada 5 kanak-kanak bawah lima tahun mengalami masalah bantut. Bantuan bulanan untuk setiap keluarga akan diberi mengikut bilangan anak yang berumur 6 tahun dan ke bawah bertujuan meringankan beban keluarga miskin dan memastikan pertumbuhan kanak-kanak sihat dan tidak terbantut.

Tiada Keciciran – Bekerjasama dengan setiap Ahli Parlimen untuk mengenal pasti komuniti tersasar dalam semua program pembasmian kemiskinan kerajaan Persekutuan seperti “MySalam” dan “Program Kasih Suri Malaysia”.

KEMISKINAN BANDAR

Disebabkan cabaran berbeza di bandar, tumpuan khusus perlu diberikan ke atas isu kemiskinan di kawasan ini. Kita boleh membasmi kemiskinan bandar dengan pelaksanaan dasar yang bersesuaian.

Rumah Mampu Milik, Mampu Sewa – Mewujudkan rumah mampu milik, mampu sewa, kos rendah dan kos sederhana, serta rumah transit di lokaliti yang perlu.

Akses Kesihatan Komuniti – Mewujudkan lebih banyak klinik kesihatan di kawasan padat dan mempunyai insiden kemiskinan tinggi. Meluaskan program penjagaan kesihatan yang menekankan perkhidmatan pencegahan penyakit merangkumi saringan rumah ke rumah di pangsapuri kos rendah.

Ruang Selamat Dan Dapur Komuniti – Cabaran terbesar untuk golongan miskin bandar khususnya ibu atau bapa tunggal adalah dalam menyediakan ruang selamat untuk anak-anak di luar waktu persekolahan. HARAPAN akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan ruang selamat sebagai tempat anak-anak ini belajar dan bersosial. Dapur komuniti juga akan diwujudkan bagi menyediakan makanan untuk anak-anak dan membantu meringankan beban keluarga miskin.

Kepolisan Masyarakat – Inisiatif membasmi kemiskinan perlu berjalan seiringan dengan usaha meningkatkan kualiti hidup golongan miskin bandar. Model Rukun Tetangga boleh diamalkan di kawasan perumahan kos rendah dengan peruntukan yang bersesuaian. Amalan kepolisan masyarakat bukan sahaja menjamin keselamatan setempat tetapi juga membantu mengatasi gejala sosial selain memupuk keterlibatan masyarakat dalam aktiviti komuniti.

Kongsi Artikel Ini: