Sektor sukan berpotensi memacu ekonomi negara menerusi pelaburan strategik dan penyusunan semula kerangka pembangunan ekosistem ini. Kemudahan infrastruktur, pengurusan kebajikan dan perlindungan atlet, penglibatan pemegang taruh, perancangan rapi bagi menggilap bakat di setiap peringkat dalam masyarakat adalah faktor-faktor penting bagi menjadikan sukan sebagai salah satu pemacu utama kemakmuran Malaysia.
HARAPAN akan terus memartabatkan sukan negara dengan melaksanakan pelan holistik merangkumi setiap jenis sukan di Malaysia.
Destinasi Latihan Sukan
Menaiktaraf kompleks sukan terpilih untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi latihan sukan berprestasi tinggi. Fasiliti sukan ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini yang membolehkan atlet menjalani proses latihan dan rehabilitasi sukan yang canggih. Atlet-atlet ini kelak dapat menerima pengalaman latihan dan rehabilitasi sukan yang lebih berkualiti.
Memanfaatkan Keunikan Ekosistem e-sukan
Ekosistem e-sukan yang sedia ada perlu digunapakai dengan sepenuhnya. Penggabungan acara tahunan berskala besar seperti Level-Up dan EPIC bakal menarik minat seluruh ekosistem e-sukan dan juga gergasi seperti Valve dan juga Tencent untuk turut serta.
Melibatkan pemegang taruh e-sukan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa dengan mengadakan perbincangan berkala tentang polisi dan perubahan bagi menyokong ekosistem e-sukan.
Sokongan Pelancongan Sukan
Memperkemas dan mendigitalkan proses permohonan visa bagi atlet sukan antarabangsa dan atlet e-sukan selain memberikan sokongan kepada kejohanan-kejohanan e-sukan. Ini dapat memberi sokongan kepada pembangunan industri pelancongan sukan lantas memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa yang terdapat di seluruh negara.
Kemahiran Urus Kerjaya
Mempersiapkan atlet termasuk e-sukan yang berpotensi dengan pengetahuan dan kemahiran insani. Pada awal pembabitan mereka, atlet akan didedahkan dengan ilmu pengurusan kewangan dan kemahiran berkomunikasi. Ini akan dapat membantu bagi melahirkan ekosistem sukan dan e-sukan yang benar-benar berfungsi.
Sukan Untuk Semua
Memudahkan akses rakyat kepada kemudahan dan infrastruktur sukan agar budaya sukan dapat diterjemahkan sebagai realiti.
Bakat Akar Umbi
Membuka ruang dan peluang kepada bakat sukan di peringkat akar umbi untuk menyertai sukan secara lebih terbuka.
Peralihan Atlet Pasca Aktif
Memeterai kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi melaksanakan program latihan kemahiran dan kerjaya khusus buat bekas atlet bagi menjamin kehidupan mereka ketika persaraan.