Tragedi bah besar yang melanda hampir seluruh negara pada penghujung 2021 dan awal 2022 merupakan satu episod tragis yang telah mengorbankan 54 nyawa dan 2 kehilangan. Bencana ini turut mengakibatkan lebih 71,000 penduduk hilang tempat tinggal dan sekitar 125,000 yang lain terjejas kehidupan, dengan kerugian ekonomi dianggarkan mencecah RM6.5 bilion.
Insiden ini adalah peringatan tentang ancaman krisis iklim dan potensi bencana yang boleh berlaku. Justeru dasar ketahanan bencana perlu dirangka bagi mempersiapkan negara dalam berdepan malapetaka.
Walaupun kejadian seperti bencana alam tidak boleh dielakkan, kita boleh mengurangkan impak bencana dengan persediaan ketahanan yang menyeluruh. HARAPAN akan memastikan impak insiden seperti tragedi bah besar tidak akan berulang dan keselamatan setiap lapisan rakyat terjamin.
Rancangan Infrastruktur Dan Pembangunan Lestari
Mengutamakan rancangan infrastruktur saliran dan tebatan banjir serta pembangunan lestari. Projek tebatan banjir di kawasan cenderung banjir harus merangkumi pembangunan infrastruktur ekologi dan menambah baik sistem perparitan serta tumbuh-tumbuhan untuk laluan pejalan kaki dan bumbung awam.
Skim Perlindungan Bencana Nasional
Bayaran bantuan mengikut nilai kerugian sehingga RM50,000 untuk setiap rumah yang terkesan dari bencana.
Memperkukuh NADMA
Menyemak semula struktur dan memperkukuh operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk meningkatkan kapasiti mengurus dan mengurangkan risiko bencana dan memberikan amaran awal.
Kesiapsiagaan Banjir Dan Bencana
Menyelaras dan merangka pelan kesiapsiagaan banjir dan bencana menyeluruh yang menggariskan tanggungjawab setiap peringkat kerajaan dan memastikan sumber mencukupi diperuntukkan bagi usaha mencegah, menyelamat, menyalur bantuan dan mengurus pemulihan. Pertimbangan khusus antaranya kepada golongan rentan, gelandangan, OKU dan warga tua.