Belia adalah harapan untuk negara, tetapi dalam membina harapan kita juga perlukan asas yang baik. Dasar-dasar berkaitan belia mestilah fokus kepada mencambah perkembangan dan kemajuan golongan belia.
HARAPAN percaya kita boleh mencorak Malaysia menjadi tempat yang terbaik untuk golongan belia berkembang maju. Justeru, kami menggariskan dasar-dasar untuk merealisasikan harapan negara melalui pemerkasaan belia.
Kad Belia
Kad Belia adalah naik taraf dari Kad Siswa sedia ada dan akan digunakan oleh anak muda berumur antara 13 hingga 25 tahun. Pemegang kad akan mendapat faedah promosi dan diskaun di tempat perniagaan terpilih.
Kembara Siswa
Bertujuan meringankan beban mahasiswa yang mahu pulang ke kampung halaman terutamanya sewaktu musim perayaan. Kembara Siswa akan menyediakan tiket pada kadar harga tetap (RM199) untuk penerbangan di antara Sabah atau Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya dengan had 2 tiket setahun bagi setiap mahasiswa.
Penyediaan Rumah
Bagi membantu meringankan beban komitmen perumahan di kalangan belia, HARAPAN akan mengusahakan penyediaan rumah transit belia, rumah mampu milik, mampu sewa, kos rendah dan kos sederhana yang mencukupi di lokaliti yang memerlukan.
Akses Sukan Dan Rekreasi
Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja. Memperbanyakkan ruang-ruang awam seperti taman-taman rekreasi, kemudahan sukan awam, perpustakaan, pusat sumber digital, dan ruang acara (event space) untuk kegunaan anak muda dengan lebih meluas.
Kebebasan Aktivisme
Menjamin kebebasan untuk aktivisme anak muda serta menggalakkan pertumbuhan badan-badan sosial, kebajikan dan aktiviti intelektual awam yang diterajui anak muda atau belia.
Akaun Latihan Kemahiran
Membuka akaun “Latihan Kemahiran” (Skills Training Account) untuk pekerja belia yang berusia 18 hingga 30 tahun di bawah HRD Corp dengan RM500 yang boleh digunakan untuk latihan sepanjang umur.